Persib Bandung mengakhiri musim Liga 1 Indonesia dengan kekalahan besar 4-1 di tangan pasukan pelawat, Persikabo. Di sebalik kekalahan itu, ramai penyokong mereka memilih melepaskan suar dalam stadium bagi mengakhiri musim ini.
Insiden melepaskan suar ini dikatakan bermula lima minit sebelum perlawanan Persib Bandung-Persikabo berakhir. Penyokong yang kecewa pada awalnya hanya sekadar mencemuh pasukan termasuk pengarah kelab, Teddy Tjahono.
Tetapi suasana dalam Gelora Bandung Lautan Api (GBLA) mula panas apabila penyokong tuan rumah melepaskan suar dalam stadium. Selain suar, ada juga mendakwa bom asap turut dilepaskan dalam perlawanan semalam.
Sebaik video penyokong Pangeran Biru menyalakan suar dimuatnaik di media sosial, ada yang menyifatkan ia sebagai cantik. Tetapi ada juga yang berpandangan tindakan mereka ini bakal mengakibatkan Persib dikenakan hukuman berat oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).
Kemungkinan itu bakal menjadi realiti lebih-lebih lagi selepas PSSI dan Liga 1 Indonesia menerima laporan perlawanan tersebut. Selain insiden menyalakan suar, beberapa penyokong turut dilaporkan menceroboh padang untuk bersemuka dengan pemain-pemain Pangeran Biru.
Ini sekaligus memaksa pengadil Agung Setiawan menamatkan perlawanan lebih awal selepas berbincang dengan pengelola pertandingan atas alasan keselamatan. Kekecohan hanya reda selepas wakil pemain, I Made Irawan bersemuka dengan penyokong dan menggesa mereka untuk bertenang dan pulang tanpa sebarang insiden.