Penyokong dan peminat bola sepak Syria mula menunjukkan rasa berang susulan keputusan seri yang dicatat Syria ketika berdepan Malaysia.
Dalam aksi persahabatan tertutup malam semalam, Syria dan Malaysia catat keputusan seri 2-2 menerusi jaringan Pablo Sabbag dan Ibrahim Hesar (Syria) serta Arif Aiman dan Paulo Josue (Malaysia).
Syria sekali lagi terpaksa akur apabila gagal menewaskan skuad kendalian Kim Pan-gon selepas aksi persahabatan di China September lalu yang juga berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.
Menerusi tinjauan MakanBola di beberapa platform media sosial bola sepak Syria, sesetengah penyokong meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi semasa yang ditampilkan anak buah Hector Cuper.
Peminat bola sepak di Syria juga mengkritik kecuaian barisan pertahanan Syria yang mudah dibolosi dalam beberapa siri perlawanan sebelum-sebelum ini. Syria yang kini berada di ranking ke-91 dunia itu dilihat sedikit bergelut mencatat kemenangan, selepas tewas 0-5 kepada Jepun dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 tempoh hari.
Sebelum bertemu Malaysia, Syria juga seri ketika berdepan Kyrgyzstan 1-1 dalam aksi pemanas badan minggu lalu.
“Sudah tentu, Syria masih berdepan masalah dengan barisan pertahanan,” tulis MohdAli di Instagram.
“Hector tak tunjuk peningkatan, kurang bagus,” tulis Haidi181 di ruangan komen.
Syria akan berdepan Uzbekistan dalam aksi pertama di pentas Piala Asia 2023 pada Ahad, 14 Januari 2024 sementara Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia edisi kali ini berdepan Jordan pada Selasa, 16 Januari 2024.