Vietnam kini berada di dalam motivasi terbaik untuk terus melakar kemenangan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas berjaya menewaskan Filipina dalam aksi sulung mereka tempoh hari.
Namun begitu, kali ini mereka dijangka berdepan dengan tugasan yang agak sukar dalam aksi kedua selepas bakal bertemu pasukan di ranking ke-68 dunia, Iraq.
Sedar akan situasi tersebut, jurulatih Vietnam, Philippe Troussier memberitahu media bahawa kelebihan beraksi di tempat sendiri akan digunakan sebaiknya.
Jurulatih kelahiran Perancis itu juga menjangkakan ribuan penyokong Vietnam yang hadir pada perlawanan malam ini akan memberikan sokongan padu kepada para pemainnya sekali gus memberikan tekanan kepada pemain Iraq.
“Setiap perlawanan sentiasa berbeza, bergantung kepada pihak lawan. Setiap lawan mempunyai gaya permainan yang berbeza dan matlamat saya adalah untuk menyesuaikan diri bagi memberikan cabaran buat mereka.
“Kami bersedia. Kami akan cuba yang terbaik untuk mencapai keputusan yang baik. Dengan kelebihan di tempat sendiri, Vietnam akan mendapat sokongan peminat.
“Kami bukan sahaja akan bermain dengan 11 pemain tetapi juga dengan 30,000-40,000 penyokong dan membuatkan pihak lawan merasai tekanan. Semoga kita mendapat keputusan yang baik,” tegas Troussier kepada media.
Vietnam kini berada di tangga kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan mengumpul 3 mata. Iraq juga mengumpul mata yang sama namun berkelebihan dari segi jaringan selepas menewaskan Indonesia 5-1 di gelanggang sendiri.