Pengurusan Perak FC berusaha menyelesaikan isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu.
Janji itu dizahirkan pengerusi pasukan, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi apabila ditanya tentang isu tersebut.
Sebelum ini, arena bola sepak Malaysia dikejutkan dengan berita Perak bergelut dengan isu tunggakan gaji yang berlarutan selama lima bulan.
Susulan itu, Abdul Azim memaklumkan satu perjumpaan bakal diadakan antara pengurusan The Bos Gaurus dengan barisan pemain dan staf kejurulatihan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah kami akan membuat bayaran, cuma sedang menunggu sumbangan daripada pihak-pihak tertentu tetapi belum menerima sebarang maklum balas,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
“Meskipun kami sudah menghubungi setiap hari untuk memberikan peringatan. Apabila duit masuk, kami akan langsaikan.
“Buat masa sekarang, kami belum boleh pastikan sama ada akan membayar secara penuh atau apakah formula yang akan digunakan. Kami akan sedaya upaya untuk membayar semua.”
Abdul Azim turut mendedahkan XOX sudah berbelanja RM30 juta untuk The Bos Gaurus sejak tiga tahun lalu.
Justeru, beliau mengharapkan barisan penaja lain untuk tampil membantu meringankan isu kewangan yang dihadapi Perak.
“Syarikat telekomunikasi terkemuka, XOX telah membelanjakan nilai yang begitu besar dalam tempoh tiga tahun iaitu sekitar RM30 juta.
“Tiba masanya, kami tidak boleh untuk membantu lagi. Daripada pihak kami, habis kering disebabkan Perak ini,” ujarnya.
Perak bakal menutup kempen Liga Super dengan berdepan Sabah FC di Stadium Likas pada 20 April.