Perak Catat Kemajuan Dalam Diam
MakanBola
Perak FC

Selepas 12 perlawanan, tiada siapa menyangka Perak FC kini menduduki tangga keempat liga dengan 15 mata.

Pencapaian yang dilakar anak buah Yusri Che Lah cukup mengagumkan lebih-lebih lagi dengan empat kemenangan yang diraih dalam lima perlawanan terakhir liga.

Ad

Empat pasukan yang menjadi mangsa The Bos Gaurus ialah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Negeri Sembilan FC, KL City FC dan Sri Pahang FC.

Ad

Lebih menarik, mereka tidak dibolosi dalam tiga perlawanan terakhir liga. Kali terakhir perkara itu berlaku ialah aksi membabitkan Kuching City FC di Ipoh pada 30 Julai lalu.

Dua tonggak import The Cats, Jordan Mintah dan Tchetche Kipre memastikan pasukan itu meraih tiga mata penuh dalam aksi berkenaan.

Ad

Hal ini berlaku kerana Yusri memberi kepercayaan kepada penjaga gol pinjaman dari Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Muhammad Haziq Nadzli sebagai penjaga gol utama pasukan dalam tiga aksi terakhir liga.

Ad

Haziq membalas kepercayaan jurulatih berusia 48 tahun itu dengan memastikan gawang The Bos Gaurus tidak bolos sebanyak tiga kali berturut-turut.

Ad

Perak juga kelihatan semakin tajam dalam menghidu peluang gol. Dalam lima perlawanan terakhir liga, pasukan itu sudah menjaringkan sembilan gol.

Empat daripadanya disumbang kapten dan pemain perancang Argentina, Luciano Guaycochea. Sementara dua lagi disumbang penyerang Serbia, Luka Milunovic.

Keampuhan skuad Perak bakal diuji sepenuhnya apabila pasukan itu bertemu dengan JDT pada 5 Oktober ini, Aksi ini sepatutnya diadakan pada Ogos lalu tetapi terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk dan padang digenangi air.