Dua pasukan difahamkan bakal menerima laluan berbeza menjelang sepak mula musim 2025/26.
Beberapa khabar angin mula bertiup kencang mengenai masa depan beberapa kelab Liga Super yang difahamkan tidak akan kekal beraksi musim hadapan.
Hal ini termasuklah pasukan kendalian Yusri Che Lah, Perak FC selepas difahamkan tidak dapat menampung perbelanjaan pasukan yang mencecah RM40 Juta selepas tiga musim.
Namun begitu, kenyataan oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi memberi sinar baharu selepas beliau mengesahkan bahawa terdapat beberapa rundingan dengan potensi penaja baharu The Bos Gaurus.
“InsyaAllah keputusan itu bakal berubah. Kita dapati bahawa terdapat dua atau tiga orang pelabur yang berminat untuk mengambil alih Perak FC.
“Kita dalam proses perbincangan dan harapnya dapat menemui kata sepakat seterusnya membenarkan mereka untuk mengambil alih Perak FC,” katanya.
Situasi berbeza dialami oleh Sri Pahang FC apabila pasukan kendalian Fandi Ahmad dilaporkan tidak akan beraksi di Liga Super musim hadapan.
Menerusi laporan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain skuad Tok Gajah surat pengesahan berhubung perkara tersebut.
“Status Sri Pahang difahamkan sudah muktamad, pemain menerima surat hari ini mengatakan skuad Tok Gajah tidak beraksi dalam Liga Super musim depan,” ujarnya di laman X.