Pengurusan Perak FC akhirnya mendedahkan sebab pasukan itu tidak menyertai saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim 2025.
Sebelum ini, ramai peminat bola sepak terkejut apabila nama Perak tidak tersenarai dalam kalangan pasukan yang menyertai dua kejohanan tersebut.
Ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong The Bos Gaurus tentang situasi yang dihadapi pasukan itu.
Pengerusi Perak, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi memaklumkan tanggungjawab menghantar pasukan ke Piala Presiden dan Piala Belia seharusnya digalas oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
Walau bagaimanapun, situasi itu tidak berlaku. Isu ini timbul tatkala pengurusan The Bos Gaurus berusaha menyelesaikan kemelut luar padang.
“Sepatutnya begitulah tetapi tak tahulah, semua ini mereka letak semua atas kepala kita. Pada masa yang sama, dari segi negeri, tiada pula yang membantu dari segi kewangan.
“Saya tak boleh buat apa, saya minta maaf banyak-banyak,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Abdul Azim turut memaklumkan pengurusan Perak sudah mengadakan perjumpaan dengan PAFA untuk mereka mengambil alih dua pasukan itu.
Ini kerana sekiranya kedua-dua pasukan diletakkan di bawah seliaan PAFA, ini akan membawa impak positif kepada negeri Perak dari segi pembangunan pemain muda.
“Kita sudah berjumpa dengan PAFA, kita ada berbincang dengan mereka. Saya kata, ‘Ambil alihlah dan dapatkan dana pembangunan daripada negeri.’
“Kerana pembangunan (pemain muda Perak) baik untuk negeri juga,” tambahnya.
Pengurusan Perak berusaha menggalas tanggungjawab menjaga skuad belia Perak. Walau bagaimanapun, isu komersial dilihat menjejaskan usaha The Bos Gaurus.
“Kami tetap cuba dan banyak wang telah dibelanjakan untuk pasukan pembangunan. Tapi masalah yang dihadapi skuad pembangunan ialah tidak dapat dikomersialkan berikutan tiada hak penyiaran.
“Bila kita tak boleh komersialkan, sebagai sebuah syarikat korporat, kami melihat perkara ini tidak berbaloi,” ujarnya.
Perak menamatkan kempen Liga Super di tangga ketujuh dengan 30 mata. Ini dicapai dengan menewaskan Sabah FC 1-0 di Stadium Likas baru-baru ini.