Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mengakui pasukannya bersedia membuat perubahan dalam pasukan menjelang tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).
Apabila saingan Liga M membuka tirainya pada Mei lalu, The Bos Gaurus hanya merekodkan dua kemenangan dan empat kekalahan dalam Liga Super. Ini termasuk kemenangan 3-1 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 26 Julai lalu.
Perak juga terpaksa melupakan hasrat mara lebih jauh dalam saingan Piala FA 2024 apabila disingkirkan Terengganu FC di pusingan 16 pasukan terbaik.
Melihat kepada prestasi semasa pasukan, Yusri mengakui beliau ada mengadakan perbincangan dengan pengurusan Perak tentang hal ini. Hal ini akan bergantung kepada kemampuan kewangan yang dimiliki pasukan itu.
Pada masa sama, Yusri berharap situasi ini juga akan mendorong para pemain terutama pemain import untuk meningkatkan prestasi masing-masing.
“Ianya terpulang kepada bajet yang disediakan majikan. Kami masih lagi dalam perbincangan untuk menguatkan bahagian-bahagian tertentu. Dan pada masa sama, saya ingin mengingatkan pemain import dan tempatan pada dua minggu lalu agar lebih bermotivasi bila bersama pasukan Perak.
“Ini kerana senario bola sepak hari ini amat sukar untuk mendapatkan pasukan dan beraksi. Dan semua pemain harus faham setiap rezeki yang ada di tangan itu harus diguna pakai sebaik mungkin.
“Kita tidak tahu pemain-pemain lain juga inginkan kelebihan sama. Jadi, saya cuba berlaku adil kepada semua pemain,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Kelantan DN-Perak yang disiarkan di TBG TV.
Selepas ini, Perak akan berdepan Kuching City FC di Ipoh pada 30 Julai ini.