Keputusan Perak FC untuk menarik diri dalam saingan Liga Super musim baharu mungkin bakal berubah.
Perkara ini dikongsikan oleh Datuk Seri Azim Zabidi selaku Pengerusi Perak FC berhubung hala tuju pasukan yang dikatakan bakal membuat pusingan-u.
Beberapa pihak difahamkan sedang berunding bagi pengambilalihan The Bos Gaurus sekali gus menyalakan harapan untuk melihat pasukan Utara air ini kekal mewarnai bola sepak Malaysia.
“InsyaAllah keputusan itu bakal berubah. Kita dapati bahawa terdapat dua atau tiga orang pelabur yang berminat untuk mengambil alih Perak FC.
“Kita dalam proses perbincangan dan harapnya dapat menemui kata sepakat seterusnya membenarkan mereka untuk mengambil alih Perak FC,” katanya pada sesi audio siar Channel 10 Malaysia.
Walau bagaimanapun, Azim Zabidi akur sekiranya terdapat mana-mana pemain yang mahu berhijrah ke kelab lain bagi musim baharu.
“Kita tak boleh menghalang sekiranya pemain mahu berhijrah ke kelab lain. Akan tetapi, jika ada pemain yang mahu menunggu untuk melihat status Perak FC, kita terima,” katanya.
Setakat ini, beliau masih belum mendedahkan identiti pihak yang mahu mengambil alih Perak FC tatkala belum ada kata putus buat kedua-dua belah pihak.