Jurulatih Jordan, Hussein Ammouta mendedahkan pelan awalnya ketika menjinakkan Korea Selatan dalam aksi separuh akhir AFC Asian Cup.
Beliau yang ditemui selepas perlawanan berkata, sikap anak-anak buahnya yang tidak gentar kepada lawan membantu mereka meraih kemenangan berharga ini.
“Alhamdulillah, hari ini pasukan kami berhak menang. Kemenangan ini sudah tentu amat bermakna. Salah satu kelebihan kita ialah kita tidak terlalu menghormati pasukan lain”, katanya kepada Alkass TV Sports.
“Pasukan lawan amat kuat, semua orang tahu mereka pasukan sukar dan miliki kelebihan teknikal yang bagus. Tetapi Alhamdulillah, kita tidak tunjuk terlampau rasa hormat dan itu memberi kelebihan kepada kita.”
Beliau juga mendedahkan rancangannya untuk kekal menyerang selepas melihat data yang menunjukkan kelemahan di benteng pertahanan Korea Selatan yang sering dibolosi oleh pihak lawan.
Secara statistiknya juga, pasukan kendaliannya juga berjaya mencetak lebih banyak jaringan berbanding lawan, maka beliau berpandangan dengan dengan kekal menyerang akan membantu pasukannya meraih kemenangan.
“Saya fikir kita mengambil inisiatif untuk menyerang memandangkan Korea Selatan kerap dibolosi gol awal. Korea menjaringkan 8 gol sementara kita pula menyumbat 12 gol. Jadinya, saya fikir kunci untuk menang dan layak (ke final) ialah dengan menyerang”, ujar pengendali kelahiran Maghribi itu.
“Malangnya, pada babak pertama, kita gagal manfaatkan empat atau lima peluang. Tetapi pada babak kedua, kita berjaya manfaatkan peluang dan Alhamdulillah”, tambahnya lagi.
Dalam aksi separuh akhir tersebut, Jordan mencipta sensasi apabila dua jaringan daripada Yazan Al-Naimat dan Mousa Al-Tamari mengecewakan Korea Selatan yang juga finalis edisi 2015.
Menanti mereka di pentas akhir nanti adalah pemenang satu lagi aksi separuh akhir sama ada Qatar atau Iran yang akan bertarung pada Rabu.