Hasrat Itali menamatkan kempen Liga Negara-Negara UEFA (UNL) tanpa sebarang kekalahan musnah apabila tewas kepada juara Piala Dunia 2018, Perancis di San Siro.
Azzurri mahu meneruskan momentum kemenangan selepas mengalahkan Belgium 1-0. Manakala Les Bleus pula mahu bangkit daripada kekecewaan selepas diikat Israel tanpa jaringan pada awal pagi 15 November.
Mateo Retegui dan Nicolo Barella menjadi sandaran gol pengurus Itali, Luciano Spalletti. Sementara Randall Kolo Muani dan Marcus Thuram menjadi pilihan Didier Deschamps untuk merobek gawang tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan Perancis tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit kedua. Adrien Rabiot menanduk bola hantaran Lucas Digne melepasi penjaga gol Tottenham Hotspur, Guglielmo Vicario.
Tersentak, Itali mula memberi tekanan ke atas kubu pertahanan pelawat. Ini memaksa barisan pertahanan Les Bleus diketuai bek tengah Liverpool, Ibrahima Konate bekerja keras mematahkan setiap serangan yang direncana Azzurri.
Percubaan terbaik Itali hadir pada minit ke-25 menerusi Giovanni Di Lorenzo selepas menerima hantaran Federico Dimarco. Malangnya, percubaan pemain pertahanan Napoli itu tidak mengenai sasaran.
Tatkala Itali terus melancarkan serangan, Perancis menggandakan kelebihan mereka lapan minit selepas itu. Sepakan percuma Digne terkena palang sebelum terkena badan Vicario dan menerjah jaring.
Keceriaan kem Les Bleus tidak bertahan lama apabila Andrea Cambiaso meledakkan gol kedua antarabangsanya pada minit ke-35. Cambiaso mudah menanduk bola hantaran Dimarco melepasi penjaga gol Perancis, Mike Maignan.
Kedua-dua pasukan saling menyerang untuk memburu gol tambahan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Azzurri terus menggandakan serangan ke arah kubu pertahanan Perancis untuk memburu gol penyamaan.
Pemain tengah Juventus, Manuel Locatelli melakukan percubaan ke arah gol Maignan pada minit ke-62 tetapi percubaannya jauh tersasar.
Rabiot terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Itali. Bekas pemain tengah La Vecchia Signora itu meledakkan gol keenam di peringkat antarabangsa yang menewaskan Vicario pada minit ke-65.
Situasi ini mendorong Spalletti memasukkan empat pemain gantian iaitu Moise Kean, Nicolo Rovella, Giacomo Raspadori dan Daniel Maldini untuk mengubah momentum perlawanan.
Malangnya, usaha Itali untuk merapatkan jurang gol tidak berhasil. Keadaan ini memastikan Perancis meraih kemenangan 3-1 sekaligus bergelar juara Kumpulan A2.
Sofascore memilih Digne sebagai pemain terbaik perlawanan dengan 8.7 mata. Bek kiri Aston Villa itu memiliki kelebihan 0.4 mata berbanding Rabiot yang hanya mendapat 8.3 mata.
Perancis dan Itali layak ke suku akhir UNL selaku juara dan naib juara Kumpulan A2. Aksi suku akhir UNL dijangka berlangsung pada 20 dan 23 Mac ini dengan undian suku akhir bakal diadakan pada 22 November.