Pemain sayap lincah Harimau Malaya, Faisal Halim mengakui perasaan berbeza selepas kembali bersama pasukan kebangsaan selepas hampir 365 hari tidak bersama.
Tonggak berusia 27 tahun itu dipanggil buat kali pertama di bawah kendalian Peter Cklamovski bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac lalu.
Beliau menghargai sokongan semua pihak termasuklah DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor yang memberikannya samangat untuk kembali bangkit dengan aksi terbaik di atas padang.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, FAM dan juga DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor yang memberi peluang dan semangat selepas setahun tidak bersama pasukan kebangsaan.
Faisal mengakui amat rindu untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan yang kini dalam misi besar untuk melangkah ke pentas Piala Asia buat kali kedua berturut-turut.
“Saya amat-amat rindu. Walaupun dapat peluang bermain menentang Nepal, saya perlu bekerja keras lagi. Saya perlu perbaiki untuk aksi berikutnya,” katanya kepada Astro Arena.
Tonggak Selangor FC itu juga mengakui perasaan kali ini berbeza sambil mengakui masih mencari rentak terbaik dan bekerja keras mendapat prestasinya semula.
“Perasaan sebelum masuk kali ini memang lain, tak macam sebelum ini. Saya perlu bekerja keras untuk mendapatkan rentak terbaik.
“Saya dah buktikan masih boleh beraksi dan saya akan terus memberikan yang terbaik,” tambahnya.
Aksi kedua Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 menyaksikan Harimau Malaya akan bertemu Vietnam pada 10 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.