Menjelang saingan Liga Malaysia 2024/2025, Selangor FC menjangkakan bakal menghadapi peningkatan perbelajaan secara keseluruhan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Datuk Dr Johan Kamal Hamidon berkata perbelanjaan pasukan meningkat sebanyak 30 peratus disebabkan oleh tempoh perjalanan Liga Malaysia yang meningkat kepada 17 bulan musim hadapan.
”Secara amnya, memang bajet bertambah sebab musim (kali) ini sangat-sangat mencabar disebabkan oleh peningkatan bulan dalam sebuah musim, selalunya 12 bulan tetapi musim ini 17 bulan”, kata beliau ketika ditemu bual di Pusat Latihan Selangor.
“Peningkatan lima bulan itu sahaja sudah meningkatkan bajet kita sebanyak 30 peratus secara keseluruhan.”
Sungguhpun begitu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak Selangor bagi memastikan kewangan pasukan terus kukuh bagi menampung perbelanjaan musim hadapan.
“Kerja-kerja penjimatan kami telah usahakan dalam 2-3 bulan yang lepas sampai hujung musim ini untuk memastikan kita dapat mencari dana yang mencukupi untuk kita menampung peningkatan bajet ini”, katanya lagi.
Tambah beliau lagi, ini bukanlah tugas yang mudah memandangkan Selangor bakal mengharungi saingan Asian Champions League 2 (ACL2) yang memerlukan persiapan rapi bagi membawa nama negara di pentas Asia.
“Secara jujurnya, ini sangat mencabar, dengan saingan Asian Champions League 2 (ACL2) lagi, jadi kita kena membuat persiapan terbaik buat pasukan supaya boleh bertanding”, tambahnya lagi.
Beliau dan pihaknya juga kini sedang bertungkus lumus bagi memenuhi harapan tinggi para peminat The Red Giants di samping perbelanjaan pasukan yang semakin bertambah.
“Kesemua harapan yang tinggi dan bajet yang meningkat ini, bukanlah tugas yang mudah, tetapi kita sedang bekerja keras untuk perkara ini”, ujar beliau kepada media.
Selangor FC yang mengakhiri saingan Liga Super musim lalu ditangga kedua akan menjadi wakil tunggal negara yang beraksi di pentas Asian Champions League 2 (ACL2) musim 2024/2025.