DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menghuraikan perbezaan antara dua bintang muda negara iaitu Arif Aiman dan juga Luqman Hakim.
Baginda dalam satu sesi soal jawab bersama para peminat di Johor Training Centre baru-baru ini menjelaskan pelbagai perkara dalam arena bola sepak Malaysia.
Hal ini termasuklah menjawab pertanyaan peminat yang mahu melihat Arif Aiman untuk membuka lembaran baharu dalam kariernya di luar negara.
Katanya, sebagai pemain bola sepak, mereka perlu melakukan keputusan yang betul sekaligus menjadikan dua figura itu sebagai contoh terbaik.
“Membuat keputusan yang tepat adalah amat penting kepada pemain bola sepak. Saya berikan contoh, Luqman Hakim ialah bintang di Malaysia.
“Arif Aiman dalam kumpulan umur yang sama tetapi di kelas kedua, Luqman dalam skuad utama ketika itu. Apa jadi dengan Luqman Hakim sekarang?
Tunku Ismail juga melihat bahawa segala kejayaan tonggak lincah berusia 23 tahun itu adalah disebabkan keputusan tepat yang telah dilakukan dalam memilih haluan kariernya.
“Arif Aiman menang pelbagai trofi, bermain di AFC Champions League Elite (ACLE), bermain pra-musim di Sepanyol dan menikmati fasiliti bola sepak terbaik.
“Luqman Hakim pula tak tahu berapa aksi dah bermain dan tiada trofi sehingga kini. Ini semua kerana keputusan, buat keputusan yang bijak,” jelasnya di laman Johor Southern Tigers.
Luqman dikhabarkan bakal pulang beraksi di Liga Super Malaysia selepas hampir 5 tahun berjuang di luar negara.