Kekalahan Malaysia 1-2 kepada Bahrain menzahirkan beberapa kekurangan skuad negara terutamanya selepas Darren Lok dikeluarkan. Kekurangan yang dirasai adalah kemasukan De Paula tidak memberikan impak positif dalam perlawanan ini malahan Malaysia ibarat bermain dengan 10 pemain.
Perkara ini berlaku apabila pemain yang pertama berada dalam kawasan Attacking Third tidak memberikan tekanan tinggi kepada pemain pasukan Bahrain yang memiliki bola ketika fasa binaan serangan sedang dicipta.
Ketika fasa merampas semula penguasaan bola daripada pasukan lawan juga De Paula tidak memberikan sebarang tekanan yang sewajarnya. Darren Lok pula dilihat cukup bertenaga memberikan tekanan kepada pihak lawan dan sesekali berjaya merampas kembali penguasaan bola.
Jika Darren Lok masih kekal beraksi dalam perlawanan menentang Bahrain sekurang-kurangnya sehingga minit ke-80, beliau akan sentiasa memberikan tekanan sama ada di kawasan Attacking Third mahupun Middle Third. Ini memberikan ruang dan waktu yang lebih banyak kepada rakan sepasukan memberikan tekanan kepada pilihan hantaran (passing option) pasukan lawan.
Susuk tubuh De Paula meskipun memiliki kelebihan daripada aspek ketinggian, ianya tidak memberikan sebarang kesan positif. Dilihat beberapa kali beliau bergelut untuk perebutan bola di udara disamping teknik lompatan beliau juga tidak sempurna.
Loncatannya acuh tidak acuh dan konsisten gagal menggapai pihak lawan yang setara atau lebih rendah dari fizikal empunya diri.
Meskipun tidak banyak aksi tandukan dipamerkan oleh Darren Lok, beliau akan sentiasa mencuba meletakkan fizikalnya kepada sebarang situasi bola yang dihantar selain mampu melakukan lorongan menarik.
Corak permainan kedua-dua pemain ini juga berbeza apabila De Paula lebih gemar menunggu bola untuk hadir tepat di kakinya berbanding Darren Lok yang akan berusaha mendapatkan bola. Dilihat perbezaan ini tidak bersesuian dengan gaya permainan Kim Pan Goon namun masih menjadi tanda tanya mengapa beliau masih menjadi pilihan.
Semoga ada sinar buat Malaysia untuk perlawanan seterusnya. Ikhlas dari Norazreen Mohd Nadzri.