Aksi kelayakan Piala Dunia 2026 membabitkan Qatar dan Uzbekistan dilihat panas dan penuh dengan kontroversi.
Qatar meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas The White Wolves dalam aksi yang berlangsung di Stadium Jassim bin Hamad, Al-Rayyan.
Almoez Ali meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi dua gol pada separuh masa pertama. Uzbekistan kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi dua gol Abbosbek Fayzullaev pada minit ke-75 dan 80.
Perlawanan mula panas apabila Mohammed Waad dikesan menjatuhkan Fayzullaev semasa hendak cuba menjaringkan gol pada minit ke-88. Meskipun insiden tersebut disemak oleh VAR, kad merah tidak diberi kepada pemain Al-Sadd itu.
Perlawanan kemudiannya disambung selama enam minit untuk masa tambahan. Malangnya, pengadil perlawanan, Kim Jong-hyeok melanjutkan masa tambahan selama enam minit lagi susulan kecederaan yang menimpa Boualem Khoukhi dan Abdullah Al-Yazidi.
Peluang itu pantas direbut Qatar untuk menjaringkan gol kemenangan menerusi Lucas Mendes pada minit akhir perlawanan.
Keputusan ini menyebabkan ramai penyokong Uzbekistan tidak berpuas hati. Bagi seorang pengguna YouTube bernama ShohjahonToxtayev5861, kesilapan Jong-hyeok sukar diterima.
“Tiada kad merah kerana menghalang pergerakan satu lawan satu. Menukar masa tambahan sebanyak enam minit kepada 12 minit. Ini sesuatu yang memalukan! Kamu patut malu!” katanya di ruang komen video sorotan aksi berkenaan.
Sementara seorang lagi penyokong bernama IbragimovHusniddin-dy2ph mahu FIFA menilai semula prestasi pengadil Korea Selatan itu.
“Kami rakyat Uzbekistan mendesak FIFA menilai semula tingkah laku pengadil yang dilantik untuk perlawanan ini,” katanya.
Keputusan ini menyaksikan Qatar kini mengutip 7 mata, tiga mata di belakang Uzbekistan yang menduduki tempat kedua Kumpulan A.
Uzbekistan selepas ini akan berdepan Korea Utara di Laos pada 19 November. Manakala Qatar pula akan menentang negara serantau, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada hari yang sama.