Persatuan Bola Sepak Perlis (Perlis FA) telah digantung daripada menjadi ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Keputusan ini dicapai dalam Mesyuarat Eksekutif FAM Kali Ke-13 yang dipengerusikan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM, Saaran Nadarajah memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Perlis FA didapati gagal melunaskan tunggakan gaji dan pampasan kontrak bekas pengarah bola sepak pasukan itu, Matt Holland sejak 2019.
“Bagi kes membabitkan Perlis FA, Jawatankuasa Eksekutif FAM telah bersetuju untuk menggantung Persatuan Bola Sepak Perlis daripada menjadi ahli gabungan FAM sehingga Persatuan Bola Sepak Perlis membuat bayaran penuh seperti yang diarahkan FIFA.
“Keputusan ini dibuat susulan kegagalan Perlis FA mematuhi arahan yang dikeluarkan daripada FIFA untuk membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak bekas Pengarah Bola Sepak Perlis FA, Matt Holland yang telah dikeluarkan oleh FIFA pada 4 Disember 2019.
“Jumlah tersebut adalah berdekatan dengan RM998,000. Aduan tersebut difailkan Holland selepas PFA gagal melunaskan tunggakan tersebut. FIFA seterusnya mengeluarkan satu surat bertarikh 11 November 2024 mengandungi keputusan baru yang mengarahkan Perlis FA melunaskan tunggakan dengan faedah 5% dan denda CHF15,000 (RM75,000),” katanya dalam satu kenyataan.
FAM turut dikenakan denda CHF15,000 (RM75,000) oleh FIFA disebabkan FAM merupakan responden kedua dalam tindakan berkenaan.
Seandainya Perlis FA masih gagal melunaskan tunggakan tersebut, FAM berdepan potensi peruntukan FIFA Forward yang diterima disekat sebanyak 20% sehingga tunggakan tersebut selesai dilunaskan.
Justeru, langkah penggantungan Perlis FA dibuat mengikut Artikel 17 Statut FAM. Peruntukan ini memberi kuasa kepada Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk menggantung keahlian ahli gabungan sekiranya ahli melanggar kewajipan sebagai ahli.
Dalam hal ini, Perlis FA secara serius telah melanggar arahan atau keputusan daripada FIFA. Langkah penggantungan dilihat langkah terbaik buat badan induk itu bagi mengelakkan FAM dikenakan tindakan selanjutnya daripada FIFA.