Skuad wanita Singapura tiada jawapan kepada barisan serangan Bangladesh apabila dibelasah 8-0 di Stadium Bir Shrestha Shaheed Shipahi Mustofa Kamal hari ini.
Selepas tewas 3-0 kepada lawan sama beberapa hari lepas, The Lionesses berharap dapat bangkit dan mencipta kemenangan di gelanggang lawan.
Atas sebab itulah, Singapura yang dibimbing Karim Bencherifa membuat beberapa pertukaran termasuk menurunkan penyerang Borussia Dortmund, Danelle Tan.
Bagaimanapun, Bangladesh mendapat dua gol menerusi Tohura Khatun pada minit ke-16. The Bengal Tigresses makin selesa mendahului menerusi Ritu Porna Chakma pada minit ke-18.
Khatun memastikan Bangladesh mendahului Singapura 3-0 semasa rehat dengan gol pada minit ke-25.
Bersambung pada babak kedua, Bangladesh terus menggandakan asakan ke atas Singapura. Sanjida Akhter menyumbat gol keempat The Bengal Tigresses pada minit ke-56.
Bangladesh menambah gol kelima menerusi Sabina Khatun pada minit ke-75. Sumaya Matsushima dan Shamsunnahar melengkapkan kecemerlangan tuan rumah dengan gol pada minit ke-87 dan 91.
Ini bukanlah keputusan yang mahu disaksikan oleh Bencherifa dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS). Pada masa sama, ini juga satu pendedahan berguna buat The Lionesses di peringkat antarabangsa.