Persib Bandung Rekrut Bekas Bintang PSG, Layvin Kurzawa
MakanBola
Persib Bandung

Kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung menunjukkan cita-cita mereka bersaing di Asia dengan mendapatkan bekas pemain pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Layvin Kurzawa.

Perpindahan pemain berusia 33 tahun itu diumumkan pengurusan Maung Bandung dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.

“Persib rasmi memperkenalkan Layvin Kurzawa sebagai sebahagian dari Maung Bandung untuk pusingan kedua Super League 2025/2026.

“Kehadirannya bukan sekadar menambah nama untuk kuota pemain asing tetapi menjadi kepingan yang memang diperlukan pasukan saat ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sebaik perpindahan itu disahkan, pemain kelahiran Frejus itu memaklumkan keputusan menyertai Persib sebagai pilihan terbaik buat dirinya.

“Ini sememangnya keputusan saya. (Persib) pilihan terbaik untuk saya dan karier saya. Ini perjuangan baru dan saya sangat teruja untuk datang dan bermain di sini,” katanya.

Ini kali pertama Kurzawa beraksi di Asia. Sebelum ini, beliau banyak menghabiskan masa di Eropah dengan mewakili PSG, AS Monaco, Fulham dan Boavista.

Kurzawa diperkenalkan kepada penyokong selepas tamat aksi Super League antara Maung Bandung dan PSBS Biak.

Kualiti beliau dijangka ditagih Bojan Hodak bagi menghadapi kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Persib akan menentang Ratchaburi dalam aksi pertama pusingan 16 ACL2 pada 11 Februari ini.

Kurzawa bukan satu-satunya rekrut baharu Persib yang diperkenalkan kepada penyokong. Juara bertahan liga Indonesia itu turut mendapatkan bekas bek tengah NEC Nijmegen, Dion Markx.