Pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak terus kekal bersama pasukan itu untuk kempen Liga 1 Indonesia musim 2024/25.
Ini selepas pengendali Croatia itu bersetuju memeterai kontrak baru selama dua tahun bersama pasukan yang diberi jolokan Pangeran Biru itu. Pengumuman itu dibuat Persib di laman sesawang rasmi mereka.
Selepas menyertai Persib dari KL City FC pada pertengahan tahun 2023, Hodak membantu pasukan itu bergelar juara Liga 1 Indonesia musim 2023/24.
Kejayaan itu membolehkan Pangeran Biru layak secara merit ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024/25.
“Ini hal yang normal, ketika kita baru saja memenangi kejuaraan dan sama-sama mencuba untuk lebih baik lagi pada tahun berikutnya,” katanya selepas menandatangani kontrak baru bersama Persib.
Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) itu turut memaklumkan tidak merasa terbeban dengan sasaran yang ditetapkan pengurusan. Bagi Hodak, itu sebahagian daripada tugasnya untuk mempersiapkan pasukan itu ke tahap terbaik untuk setiap kejohanan yang akan disertai.
“Kita semua tahu Persib kelab besar, baru saja (bergelar) juara dan tahun depan kita akan bermain di AFC (ACL2). Sasaran sudah tentu memenangi setiap pertandingan yang kita sertai.
“Tapi maaf, bagi saya itu tak menjadi tekanan. Tempoh kontrak ini (selama) dua tahun dan mari kita lihat saja nanti,” tambahnya.
Hodak kini sibuk memantau persiapan pra-musim Pangeran Biru menjelang kempen Liga 1 Indonesia musim 2024/25.