Advertisements
Pertahanan Burnley, Dara O’Shea Raih Kad Kuning Sepantas 25 Saat di EPL
EPL
MakanBola
beIN SPORTS

Bek tengah Burnley, Dara O’Shea mencuri tumpuan peminat Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mengutip kad kuning terpantas untuk musim 2023-2024.

Selepas bola terkeluar daripada padang, pemain Bournemouth sudah bersedia membuat lontaran ke dalam. Tatkala mereka bersedia membuat lontaran, O’Shea menanduk bola yang dipegang pemain pelawat.

Tindakan tersebut kurang disenangi oleh pemain-pemain The Cherries. Akibatnya, bek tengah Ireland itu dilayangkan kad kuning kerana membuang masa.

Insiden tersebut turut ditangkap lensa kamera beIN SPORTS sebelum disiarkan di laman media sosial.

Tindakan O’Shea itu dikecam ramai peminat bola sepak di media sosial sebagai tindakan pendek akal dan sia-sia.

Malah, tindakan bek tengah Ireland itu turut dikritik bekas penyerang Crystal Palace dan Ireland, Clinton Morrison.

“Keputusan bodoh daripada Dara O’Shea. Beliau meletakkan dirinya di bawah tekanan, sukar dipercayai,” katanya kepada BBC Radio 5 Live.

Ini bagaimanapun bukanlah kad kuning terpantas dalam sejarah EPL. Rekod itu dipegang oleh bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane di mana beliau dilayangkan kad kuning 15 saat selepas perlawanan Chelsea-Liverpool bermula.

Ini disusuli oleh pemain tengah Manchester United, Scott McTominay. McTominay menerima kad kuning sekitar 24 saat selepas perlawanan bermula.

Keadaan ini tidak dibantu dengan kegagalan O’Shea dan rakan pertahanan, Maxime Esteve menghalang pergerakan penyerang Belanda, Justin Kluivert.

Kluivert bijak memperdayakan kedua-dua pertahanan The Clarets itu sebelum menewaskan penjaga gol, James Trafford bagi meletakkan Bournemouth di hadapan pada minit ke-13.

Sehingga artikel ini ditulis, The Cherries masih mendahului tuan rumah di Turf Moor dengan keputusan 1-0.