Orang besi Korea Selatan, Kim Min-jae yang bakal beradu dengan barisan penyerang Malaysia di Piala Asia akan menyertai Bayern Munich. Ini selepas kelab Bavaria itu sudah memuktamadkan terma peribadi dengan orang besi Napoli itu.
Kini, yang tinggal ialah Die Roten membayar penuh klausa perpindahannya berjumlah €60 juta (RM306 juta) dengan Napoli. Menurut wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano, ia dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat.
Min-jae dikhabarkan bersetuju menerima kontrak lima tahun dengan Die Bayern. Berita ini pastinya memberi tamparan hebat kepada pengurus Manchester United, Erik ten Hag.
Ini kerana Ten Hag melihat bek tengah Korea Selatan itu sebagai bek tengah ideal yang boleh bergandingan dengan orang besi Argentina, Lisandro Martinez. Malah, sebelum Bayern tampil membuat tawaran, Min-jae berminat dengan prospek beraksi di Old Trafford.
Bagaimanapun, kelewatan pemilik United iaitu keluarga Glazers menyelesaikan penjualan kelab menyebabkan Ten Hag tidak mendapat dana mencukupi untuk tetingkap perpindahan musim panas ini.
Selain itu, kekangan Peraturan Fair Play Kewangan UEFA turut memaksa Red Devils bersikap selektif dalam mendapatkan pemain. Dengan berita ini, pengurus Belanda itu terpaksa memberi fokus kepada sasaran lain.
Tetapi sebarang perpindahan Min-jae yang direncana Die Roten perlu ditangguhkan buat masa ini. Ini kerana bek tengah Korea Selatan itu sedang menjalani latihan ketenteraan di Korea Selatan sejak 15 Jun lalu.
Latihan selama tiga minggu itu ditempuh kerana beliau merupakan sebahagian daripada skuad Korea Selatan yang memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan Asia 2018.
Bintang Spurs, Son Heung-min juga menerima pengecualian ini atas pencapaian sama dan telah menjalani latihan ketenteraan sama pada 2020.
Portal Korea JoongAng Daily melaporkan selepas latihan yang ditempuhnya itu tamat, bek tengah Korea Selatan itu bakal menentukan kelab mana yang bakal ditujunya pada musim panas ini. Die Roten kini dicanang sebagai destinasi baru orang besi Pahlawan Taeguk itu.
Harimau Malaya pastinya berharap kubu Korea Selatan mampu ditembusi biarpun diperkuatkan oleh Min-jae. Kedua-dua pasukan bakal bersemuka pada 25 Januari tahun hadapan dalam aksi terakhir Kumpulan E.