Selepas meletak jawatan sebagai pengurus Jerman pada musim panas 2021 berikutan kekalahan negara itu dalam pusingan ke-16 EURO 2020, Joachim Low menggunakan peluang tersebut untuk berehat dan menilai peluang di pasaran. Beliau berharap dapat mengisi kekosongan jawatan pengurus di England atau Sepanyol.
Tetapi portal berita T24 melaporkan Low berkemungkinan bakal mengambil alih jawatan pengurus Fenerbahce pada musim panas ini. Ketika ini, Ismail Kartal memangku jawatan pengurus kelab sehingga akhir musim. Yang pasti, sekiranya ia benar-benar berlaku, ia merupakan pertemuan semula yang ganjil antara Low dengan bekas pemain perancang Arsenal, Mesut Ozil.
Ini kerana Ozil memilih bersara dari arena antarabangsa selepas mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam akibat kegagalan Jerman pada Piala Dunia 2018. Selain itu, tindakannya bergambar dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan juga turut mengundang kritikan di Jerman. Ini mendorong bekas pemain perancang Werder Bremen itu untuk tidak mewakili Jerman lagi.
Di sebalik prospek pertemuan semula yang kurang selesa untuk kedua-dua pihak, Low langsung tidak terganggu dengan prospek itu. Malah, beliau berharap ini peluang untuk kedua-duanya berdamai dan berbaik semula. Ini kerana kedua-duanya pernah menang Piala Dunia 2014 bersama Jerman.
Low sebelum ini dilaporkan berkata, “Mesut (Ozil) meninggalkan pasukan kebangsaan tanpa berunding dengan saya merupakan satu kekecewaan yang besar. Bila tiba masanya, kami akan bertemu dan bercakap semula. Pada satu ketika, hari tersebut akan tiba. Memori bersama kami amat positif. Beliau merupakan pemain penting dan hebat dengan keupayaan yang luar biasa.”
Ozil, 33, kembali menyerlah dalam Liga Super Turki (SuperLig) selepas tiba di Turki pada Januari tahun lepas. Beliau membuat 19 penampilan dalam liga dan menjaringkan tujuh gol untuk Fenerbahce. Bagaimanapun, kelab ketika ini berada di kedudukan kelima dalam liga.