Aksi persahabatan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars pada 28 Mei ini bakal dipantau pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Ini kerana pasukan yang mewakili rantau Asia Tenggara itu bukan saja dibimbing pengendali Vietnam, Kim Sang-sik.
Malah, beberapa tonggak Pahlawan Bintang Emas termasuk pemain tengah Cong An Ha Noi FC (CAHN), Nguyen Quang Hai turut dipilih mewakili ASEAN All-Stars.
Cklamovski mengakui beliau akan menggunakan perlawanan itu untuk memantau persembahan pemain juara ASEAN Championship 2024 itu.
Pada masa sama, beliau tidak terlalu bimbang tentang siapa yang akan dipilih Sang-sik untuk aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun ini.
“Ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik. Untuk aksi antara ASEAN All-Stars dan Manchester United, saya akan menonton perlawanan itu,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Saya tak ambil pusing siapa yang akan diturunkan. Kita akan ambil langkah, fokus saya sepenuhnya kepada skuad kebangsaan Malaysia.
“Kita fokus bentuk kem yang betul dan pastikan semua berjalan lancar untuk aksi penting menentang Vietnam. Kita mahu bermain corak bola sepak yang menarik menentang satu lawan yang kuat dan buat penyokong rasa bangga dengan skuad kebangsaan.”
Sebelum ini, tiga pemain negara iaitu Dominic Tan, Haziq Nadzli dan Sergio Aguero sepatutnya menyertai skuad ASEAN All-Stars.
Walau bagaimanapun, Dominic dan Aguero terpaksa menarik diri kerana mereka bakal terikat dengan komitmen bersama Harimau Malaya.
Susulan itu, beberapa lagi pemain negara bakal dipanggil bagi memperkuat ASEAN All-Stars. Salah seorang daripadanya ialah pemain kacukan.