Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mahu peminat realistik menjelang pertemuan menentang Vietnam Jun ini.
Aksi getir menanti pasukan kebangsaan dalam misi untuk merekodkan kemenangan kedua kumpulan setelah menundukkan Nepal dengan keputusan 2-0 tempoh hari.
Bercakap kepada Bola Itu Life, jurulatih kelahiran Australia itu mahu bersikap realistik sambil memandang serius rekod pertemuan kedua-dua pasukan yang tidak memihak kepada Malaysia.
“Kita perlu bertenang, merendah diri dan sedar dari mana kita datang. Sudah tentu, Harimau Malaya boleh mengalahkan Vietnam.
“Akan tetapi, saya ada satu soalan. Bila kali terakhir Malaysia berjaya mengalahkan Vietnam. Ia kira-kira sedekad lalu ketika aksi Piala AFF 2014,” katanya kepada Astro Arena.
Beliau dan barisan kejurulatihan memberi fokus untuk mempersiapkan pasukan dan lebih bersemangat untuk mencipta detik baharu buat Harimau Malaya.
“Kemenangan sebelumnya adalah pada tahun 2011. Kita bukan terkena sumpahan, tetapi rekod masa laku dan sejarah itu anda perlu menghormatinya,” katanya.
“Kita tidak mengalahkan Vietnam selama sedekad. Itu memberikan kita semangat berbeza dan motivasi untuk mengubah sejarah.”
Peter juga berharap agar peminat bersikap realistik tatkala Harimau Malaya hanya merekodkan dua kemenangan dalam 16 aksi terakhir bertemu The Golden Star.
Pertemuan antara Malaysia dan Vietnam dijadualkan pada 10 Jun 2025 jam 9 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).