Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski berpandangan bola sepak Malaysia sudah lama tidur jika dibandingkan dengan kemajuan negara-negara jiran.
Pandangan jurulatih Australia itu dinyatakan semasa beliau menjadi tetamu program Bola Itu Life baru-baru ini.
Cklamovski merasakan sebagai sebuah negara, semua pemegang taruh bola sepak Malaysia harus membuka mata, bersatu dan mengambil langkah yang betul.
“Pada pandangan saya, bola sepak Malaysia mungkin sudah lama tidur. Sedangkan negara jiran kita sedang bergerak pantas ke hadapan seperti yang anda sebutkan tadi.
“Dan saya rasa kita sebagai sebuah negara perlu buka mata, bersatu dan mengambil langkah yang betul. Ini kerana (bola sepak) negara ini boleh menjadi sesuatu yang istimewa,” katanya.
Cklamovski turut melihat penambahbaikan kualiti Liga Super antara aspek yang perlu dijayakan jika mahu bola sepak negara terus berdaya saing.
“Untuk membuatkan penyokong jatuh cinta semula dengan kelab dan kembali minat dengan liga. Liga Super boleh menjadi sesuatu yang istimewa di Asia,” ujarnya.
“Liga ini memang ada (ramai) pemain berbakat. Jadi, saya harap kita boleh maju ke hadapan.
“Benar, memang banyak (perkara) yang perlu diperbaiki tapi ada langkah asas yang boleh diambil, mungkin seawal musim hadapan.”
Liga Super musim 2024/25 menutup tirainya baru-baru ini dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara buat kali ke-11.