Posisi penjaga gol pasukan Harimau Malaya ketika ini dikesan berlakunya sedikit perubahan hasil rombakan yang dilakukan oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
Pada Khamis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam sebuah kenyataan mengumumkan senarai 38 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat yang diadakan secara 3 fasa.
Beberapa muka baharu dan pemain-pemain muda mendapat tempat dalam senarai awal kali ini antaranya Muhammad Abu Khalil, Haykal Danish, Shafizan Arshad serta tonggak tengah, Alif Ahmad.
Antara posisi yang mencuri tumpuan pada senarai panggilan kali ini adalah di pintu gol Malaysia apabila Peter Cklamovski dilihat melakukan pertukaran berbanding ketika aksi di bulan Mac lalu.
Ketika aksi bertemu Nepal pada Mac, Cklamovski memanggil 3 orang penjaga gol hebat, Ahmad Syihan Hazmi, Kalamullah Al-Hafiz dan Haziq Nadzli selain Christian Abad yang berada untuk tujuan pembangunan.
Walau bagaimanapun, pada kem latihan kali ini, hanya Syihan serta Haziq yang dikekalkan selain penambahan Rahadiazli Rahalim dan Syed Nasrulhaq dari Terengganu dan Azri Ghani (KL City).
Manakala, nama Kalamullah dan Christian Abad berada di senarai bersedia bersama-sama seorang lagi penjaga gol Penang, Sikh Izhan untuk dipanggil sekiranya diperlukan.
Kem latihan kebangsaan bakal bermula pada 19 Mei ini bagi fasa 1 membabitkan 28 pemain sebelum disertai oleh 8 lagi pemain pada fasa 2 dan Dion Cools serta Hector Hevel pada fasa 3.
Persediaan rapi dibuat oleh Harimau Malaya menjelang dua aksi pemanas badan menentang Cape Verde sebelum ujian sebenar dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia berdepan Vietnam nanti.