Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui cukup menghargai pengalaman bersama mentornya dan jurulatih Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou.
Cklamovski dan Postecoglou cukup mengenali antara sama lain. Ini kerana jurulatih berusia 46 tahun itu merupakan pembantu jurulatih Spurs itu semasa beliau melatih Australia dan Yokohama F. Marinos.
Gandingan mereka membantu Australia muncul juara Piala Asia 2015 dan J1 League buat Marinos pada tahun 2019. Cklamovski kemudiannya meneruskan karier sebagai jurulatih dengan menerima tawaran Shimizu S-Pulse pada 2020.
Meskipun kedua-duanya sibuk dengan perjalanan karier masing-masing, hubungan kedua-duanya kekal rapat. Malah, Cklamovski turut meminta nasihat Postecoglou tentang tugasan melatih Harimau Malaya sebelum menerima tawaran tersebut secara rasmi.
Atas sebab itu, bekas jurulatih FC Tokyo itu cukup menghargai ilmu dan pengalaman yang ditimba bersama beliau.
“Tapi tanpa Ange, tanpa peluang yang beliau berikan, tanpa perkembangan yang saya alami bersamanya, saya takkan sampai ke tahap ini. Saya cukup bertuah kerana beliau membuka pintu buat saya,” katanya semasa menjadi tetamu Bola Itu Life.
“Saya cukup bertuah kerana beliau membenarkan saya berkongsi perjalanan dengannya. Sepanjang perjalanan itu, kami mencipta banyak detik istimewa bukan saja sebagai individu tetapi untuk negara kami.
“Dan bermula sebagai jurulatih dan menunjukkan kemajuan sepanjang kerjaya saya bersama beliau, memberikan segala-galanya kepada saya. Itu sesuatu yang saya akan kenang dengan rasa bangga.”
Cklamovski turut melihat kariernya sebagai lanjutan kepada legasi Postecoglou. Ini kerana tanpa bekas pengendali Celtic itu, beliau tidak akan berada di sini sebagai jurulatih.
“Dan seperti yang selalu saya katakan, saya mahu menjadi lanjutan kepada legasi beliau. Sebab tanpa beliau, saya takkan berada di sini,” tambahnya.
Pengendali Australia itu kini fokus mempersiapkan Harimau Malaya untuk aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027. Mereka akan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.