Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mendedahkan sebab beliau tidak memanggil pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid untuk kem kali ini.
Nama anak jati Kedah itu dengan Harimau Malaya cukup sinonim. Setiap kali pengumuman kem skuad kebangsaan dibuat, nama Akhyar sentiasa tersenarai.
Satu-satunya masa nama beliau tidak tersenarai ialah tugasan ASEAN Championship 2024. Pada ketika itu, Harimau Malaya dibimbing pengendali Sepanyol, Pau Marti Vicente.
Nama Akhyar kemudiannya kembali tersenarai untuk kem Harimau Malaya pada Mac lalu untuk aksi menentang Nepal.
Atas sebab itu, ramai peminat bola sepak negara terkejut apabila nama bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak tersenarai untuk kem kali ini.
Apabila ditanya tentang perkara tersebut, Cklamovski memaklumkan beliau mengambil keputusan untuk tidak memanggil Akhyar.
Pada masa sama, jurulatih Australia itu mengingatkan terdapat ramai pemain yang bagus seperti beliau tidak tersenarai dalam kem kali ini.
Atas sebab itu, Cklamovski mengharapkan Akhyar menggunakan kekecewaan tersebut untuk tampil lebih cemerlang pada musim 2025/26.
“Sekali lagi, ia satu keputusan yang saya buat. Dan saya harap Akhyar dapat menggunakan kekecewaan gagal menyertai skuad (kali ini) untuk masa depan beliau,” katanya dalam sidang media hari ini.
“Macam saya kata, ramai pemain bagus yang tak terpilih (dan) Akhyar salah seorang daripada mereka. Tiada masalah.
“Bagi saya, apa respons (beliau). Saya harap beliau dapat menunjukkan respons (yang bagus) kepada semua orang jenis pemain yang beliau boleh capai dan memanfaatkannya untuk ditunjukkan kepada kita dalam beberapa bulan berikutnya. Ini kerana kita perlukan beliau.”
Akhyar mengakhiri musim 2024/25 dengan 37 penampilan, 10 gol dan enam bantuan gol bersama Terengganu.