Peter Cklamovski Mahu Manfaatkan Cabaran Menentang Iran
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menyifatkan aksi menentang Iran sebagai satu peluang berharga buat anak buahnya.

Undian kumpulan CAFA Nations Cup menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Iran. Turut berada dalam kumpulan sama ialah tuan rumah, Tajikistan dan Afghanistan.

Team Melli dianggap pencabar sukar kerana mereka bukan saja antara pasukan yang mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia 2026.

Malah, Iran juga merupakan antara pasukan terbaik Asia. Semakan semasa menunjukkan Iran menduduki tangga ke-18 dunia, tiga tempat di belakang pasukan nombor satu Asia, Jepun.

Meskipun menyedari cabaran besar yang bakal dihadapi anak buahnya, Cklamovski melihat ini sebagai peluang Harimau Malaya beradu kekuatan dengan Team Melli.

“Sudah tentu mereka pasukan yang berada dalam ranking tinggi, saya rasa tangga ke-18 dunia.

“Mereka juga akan ke Piala Dunia. Ia satu cabaran besar buat kami, dan juga satu peluang yang besar,” katanya.

Malaysia akan membuka kempen kumpulan dengan menentang Tajikistan pada 29 Ogos. Ini disusuli aksi menentang Iran pada 1 September dan Afghanistan (4 September).