Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski sedia menghadapi tekanan mengemudi pasukan itu di peringkat antarabangsa.
Cklamovski menjadi sebahagian daripada revolusi baharu Harimau Malaya yang diumumkan pada pertengahan Disember 2024.
Selain beliau, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut membawa masuk Nafuzi Zain, Rob Friend dan Dr. Craig Duncan untuk menjadi sebahagian daripada struktur baharu pengurusan skuad kebangsaan.
Cklamovski menganggap tekanan itu normal dalam bola sepak. Bekas pengendali FC Tokyo itu melihat satu-satunya cara menghadapinya ialah fokus terhadap tugasan beliau setiap hari.
“Tekanan itu sentiasa ada dalam bola sepak. Kerja saya tidak datang tanpa tekanan setiap hari. Saya sukakannya,” katanya.
“Satu-satunya cara untuk menghadapi tekanan itu ialah fokus kepada tugasan yang kita lakukan setiap hari dan saya akan fokus sepenuhnya pada hal itu.”
Antara fokus awal Cklamovski ialah memburu kemenangan dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027. Malaysia berada dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Laos dan Nepal.
Atas sebab itu, fokus beliau ialah mencorak persiapan rapi sebagai ramuan membentuk skuad mantap menjelang aksi pertama kelayakan pada Mac ini.
“Tumpuan kita sekarang ialah mengadakan persiapan rapi untuk kem (Harimau Malaya) pada Mac depan. Kita akan bertemu Nepal, satu pasukan yang kita hormati,” ujarnya.
“Dan kita akan pergi dengan komitmen penuh untuk mendapatkan persiapan yang mantap demi mendapatkan persembahan yang kita perlukan untuk mendapat keputusan (positif).”
Malaysia dijadual bakal bertemu dengan The Gorkhalis di Kathmandu, Nepal pada 25 Mac ini.