Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski sedia mengetengahkan lebih ramai pemain muda dalam skuad tersebut.
Jurulatih Australia itu memiliki rekod baik dalam memberi peluang kepada pemain muda beraksi dalam skuad senior.
Misalnya, semasa melatih kelab J1 League, FC Tokyo, Cklamovski memberi penampilan pertama kepada 13 pemain berusia di bawah 20 tahun.
“Kalau lihat tempoh saya di FC Tokyo, saya beri peluang kepada 13 pemain buat penampilan pertama. Semua berumur bawah 21 tahun, sembilan daripadanya datang dari akademi kelab.
“Jadi, saya tidak takut memberi peluang kepada pemain-pemain muda,” katanya semasa menjadi tetamu Bola Itu Life.
Bekas jurulatih Shimizu S-Pulse itu turut mengambil langkah berani dengan memilih Kuryu Matsuki sebagai kapten pasukan ketika itu.
Meskipun langkah itu dilihat bertentangan hierarki yang wujud dalam kelab-kelab Jepun, Cklamovski melihat langkah tersebut membantu FC Tokyo lebih ke hadapan.
Atas sebab itu, jurulatih berusia 46 tahun itu menyatakan beliau sedia mengulangi langkah sama buat Harimau Malaya.
“Dan itu sesuatu yang unik dalam bola sepak Jepun kerana sistem hierarki yang mereka amalkan. Tapi ia satu inisiatif yang bagus di mana ia membantu kelab dan pemain berkembang.
“Jadi, ya, saya tak takut untuk melakukan perkara sama untuk skuad kebangsaan Malaysia. Saya percaya dengan pendekatan itu,” tambahnya.
Cklamovski kini sibuk mengatur persiapan Harimau Malaya menjelang aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027.
Malaysia dijadual bertemu juara ASEAN Championship 2024, Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 Jun ini.