Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski waspada dengan cabaran yang bakal dihadirkan Vietnam dalam aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027.
Selepas bergelar juara ASEAN Championship 2024, Pahlawan Bintang Emas memberi isyarat bahawa pasukan itu sedia menjuarai Kumpulan F.
Ini dibuktikan apabila anak buah Kim Sang-sik membelasah Laos 5-0 dalam aksi pertama kelayakan pada 25 Mac lalu.
Selain itu, Vietnam turut sibuk merekrut tonggak naturalisasi bagi menambah kekuatan pasukan itu. Antara tonggak yang dibawa masuk ialah Nguyen Xuan Son dan Jason Pendant Quang Vinh.
Atas sebab itu, Cklamovski melihat Malaysia perlu berada di tahap terbaik apabila berdepan dengan Vietnam pada 10 Jun ini.
“Tapi saya bersedia untuk menghadapi satu cabaran yang sukar. Cabaran untuk menambah baik apa yang kita lakukan terhadap Nepal,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Kita perlu hormati Vietnam kerana mereka memenangi ASEAN Championship pada Disember. Mereka juga belum tewas dalam 11 perlawanan. Jadi, kita ada motivasi untuk mengubah nasib mereka.
“Tapi apa yang paling penting bukan apa yang mereka lakukan tetapi cara kita bersedia, cara kita jadi lebih baik dan bagaimana kita jadi yang terbaik. Saya tahu kita boleh tewaskan mereka.”
Aksi kedua kelayakan bakal menyaksikan Malaysia diperkuatkan dengan kehadiran tujuh lagi pemain yang berpangkalan di luar negara.