Bekas jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Philippe Troussier dikatakan bakal ke Indonesia dengan peranan yang berbeza.
Media terkemuka dari Vietnam menjangkakan khidmat Troussier bakal ditagih Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) sebagai Pengarah Teknikal.
Berita Troussier mengambil alih jawatan Pengarah Teknikal Indonesia dikuatkan lagi dengan kelibat jurulatih dari Perancis itu turut kelihatan dalam aksi play-off ke Sukan Olimpik Paris 2024 di antara Indonesia dan Guinea.
Sebab PSSI mahu mencari pengarah teknikal baharu adalah kerana pengarah teknikal lama iaitu Indra Sjafri kini bertanggungjawab mengetuai pasukan Indonesia Bawah 20. Difahamkan sebelum Jun, identiti pengarah teknikal bola sepak Indonesia akan didedahkan.
Exco PSSI, Arya Sinulingga sebelum ini memberikan bayangan bahawa calon Pengarah Teknikal Indonesia adalah seorang yang sinonim dengan landskap bola sepak di Jepun.
“Jurulatih yang pernah bekerja dalam persekitaran bola sepak Jepun, agak serupa dengan (karier kejurulatihan) Trousier,” coret TheThao247.
Troussier adalah seorang jurulatih yang berpengalaman dalam jawatan Pengarah Teknikal kerana pernah memegang jawatan ini di pusat latihan bola sepak remaja PVF di Vietnam.