Advertisements
Piala AFF: Indonesia Mudah Belasah Brunei
Piala AFF
MakanBola
PSSI

Indonesia meneruskan kecemerlangan dalam Kumpulan A Piala AFF 2022 selepas membelasah Brunei 7-0 dalam perlawanan ketiga kumpulan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Sebaik sepak mula, Indonesia mula mengasak kubu Brunei. Tetapi strategi Brunei berkubu di bahagian mereka menyukarkan Tim Garuda mencari ruang untuk membolosi gawang yang dikawal Haimie Abdullah Nyaring.

Skuad Tebuan hampir mencipta kejutan mendahului menerusi sepakan percuma rendah Hakeme Yazid Said pada minit kelapan tetapi berjaya ditangkap kemas oleh Nadeo Argiwinata. Tetapi Indonesia yang berstatus pasukan pilihan berjaya memecah kebuntuan menerusi Syahrian Abimahyu pada minit ke-21 selepas menerima umpanan Ilija Spasojevich.

Gol tersebut memberi keyakinan kepada anak-anak buah Shin Tae-yong memburu gol kedua perlawanan. Mereka kemudiannya diberi sepakan percuma pada minit ke-34 tetapi sepakan yang diambil Saddil Ramdani terkena tiang. Usaha Brunei untuk bangkit makin sukar apabila Alinur Rashimy Jufri dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-38.

Kesungguhan Indonesia memburu gol kedua akhirnya berhasil pada minit ke-41 menerusi Dendy Sulistyawan. Asnawi Mangkualam membuat satu hantaran dari sebelah kanan yang melepasi Spasojevich. Dendy cuba menolak bola leret tetapi terjatuh sebelum disusuli sepakan Saddil yang terpantul ke arah penyerang Bhayangkara itu untuk ditolak masuk ke dalam gawang.

Indonesia terus memburu gol ketiga bagi menjadikan kedudukan mereka lebih selesa tetapi tidak berhasil. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Brunei cuba bangkit dan hampir merapatkan kedudukan menerusi Hakeme pada minit ke-47. Walaupun dikawal beberapa pemain Tim Garuda, pemain berusia 19 tahun itu melepaskan rembatan ke arah Argawinata tetapi berjaya ditangkap kemas penjaga gol Bali United itu.

Indonesia kempunan menambah gol ketiga pada minit ke-52. Bermula dari gerakan Asnawi, bek kanan Ansan Greeners itu melorongkan bola kepada bek tengah Persija Jakarta, Hansamu Yama. Tetapi para penyokong Indonesia hampa apabila Hansamu tertolak bola tinggi keluar tatkala gawang Brunei sudah terbuka.

Beberapa minit selepas itu, giliran Egy Maulana Vikri pula menguji kecekapan Haimie menerusi satu sepakan lencong. Bagaimanapun, penjaga gol DPMM FC itu berjaya menepis bola sebelum menangkap bola muntah yang terlepas daripada genggamannya.

Tetapi kekecewaan bekas pemain FC Vion Zlate Moravce itu tidak bertahan lama. Ini selepas hantaran dari bek kiri Edy Febriansyah berjaya ditanduk Egy untuk gol ketiga Tim Garuda pada minit ke-59. Seminit selepas itu, Spasojevich menyumbat gol keempat selepas menyempurnakan umpanan Asnawi.

Walaupun beberapa pertukaran pemain telah dibuat, ia langsung tidak menjejaskan rentak serangan Tim Garuda. Indonesia menambah gol kelima menerusi penyerang muda Ramadhan Sananta pada minit ke-69. Itu juga merupakan gol pertamanya bersama pasukan kebangsaan.

Brunei semakin lesu apabila dibolosi lagi buat kali keenam menerusi sepakan leret Marc Klok pada minit ke-86. Klok yang baru masuk sebagai pemain gantian menggantikan Rizky Ridho pada minit ke-80 mudah meleretkan bola hantaran Yakub Sayuri menewaskan Haimie.

Enam minit selepas itu, giliran Yakub pula mencipta nama sebagai penjaring. Ini selepas dia mudah menanduk masuk hantaran Edo dari sebelah kiri melepasi Haimie. Keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, Indonesia menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan enam mata. Manakala Brunei pula menduduki tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata. Tetapi ia boleh saja berubah sekiranya Thailand berjaya mengalahkan Thailand dalam satu lagi aksi Kumpulan A di Stadium Thammasat, Pathum Thani.

Indonesia bakal kembali ke Gelora Bung Karno bagi melayan kunjungan Thailand pada 29 Disember. Sementara Brunei pula perlu menjadikan Kemboja sebagai medan kebangkitan bila berkunjung ke Stadium Nasional Morodok Techo pada hari yang sama.