Piala Asia B-17: Skuad Muda Malaysia Tundukkan Laos
MakanBola
FA Malaysia

Skuad B-17 Malaysia terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mengalahkan B-17 Laos 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A, Piala Asia B-17 hari ini. Kemenangan ini sedikit sebanyak menebus maruah anak-anak buah Osmera Omaro selepas gagal layak ke suku akhir kejohanan berkenaan.

Separuh masa pertama menyaksikan Anak Harimau cuba mendominasi pihak lawan. Tetapi kesilapan pertahanan negara memudahkan kapten Laos, Sayfon Keohanam menyumbat gol pada minit ke-12.

Tersentak, anak-anak buah Osmera bangkit memburu gol penyamaan. Begitupun, mereka perlu menunggu sehingga minit akhir separuh masa pertama untuk melakukannya menerusi Dainei Mat Disa.

Separuh masa kedua menyaksikan Malaysia terus bersemangat memburu gol kemenangan. Dan Anak Harimau hampir di hadapan menerusi Raja Norfirdaus Raja M. Nor yang membuat larian 90 meter ke arah kubu Laos.

Dengan penjaga gol Laos, Soulisak Manpaseuth sudah tertewas, ramai menyangka Raja Norfirdaus bakal menjaringkan gol. Tetapi malangnya, sentuhan pertamanya yang terlalu berat mengakibatkan bola tidak masuk ke gawang yang sudah terbuka.

Tetapi gol kemenangan yang dicari anak-anak buah Osmera akhirnya diraih pada minit ke-77. Dainei yang tidak dikawal mudah menanduk masuk hantaran sebelah kiri Zainurhakimi Zain Azraii melepasi Manpaseuth.

Laos cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat. Keputusan ini memastikan Anak Harimau menamatkan kempen Piala Asia B-17 mereka dengan noktah kemenangan.