Skuad bawah 23 tahun Malaysia berdepan ujian mencabar apabila diundi bersama tiga negara besar iaitu Vietnam, Uzbekistan dan juga Kuwait di Piala Asia B-23.
Undian yang berlangsung di Al Bustan Ballroom, Wyndham Doha West Bay di Doha, Qatar menyaksikan perjalanan hebat yang bakal ditempuhi oleh anak buah Juan Torres Garrido.
Undian tersebut menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait sekaligus menjadi lawan mencabar buat pasukan.
Skuad muda negara telah pun mengharungi beberapa kejohanan pada tahun 2023 termasuklah kejayaan melangkah ke kejohanan berprestij Asia ini bagi skuad senior dan juga junior.
Pasukan yang berada di bawah kendalian E. Elavarasan ketika itu merakamkan dua kemenangan dan satu kekalahan untuk muncul selaku best runner-up bagi mengesahkan tempat ke Piala Asia.
Skuad muda negara juga meraih tempat ke-4 dalam kempen AFF B-23 apabila tewas kepada Thailand menerusi penentuan sepakan penalti.
Piala Asia B-23 dijadualkan berlangsung pada 15 April hingga 3 Mei itu menawarkan slot ke Sukan Olimpik di Paris 2024 dengan tiga pasukan teratas layak secara automatik sementara tempat keempat akan ke aksi playoff menentang wakil Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).