Piala Asia B-23: Vietnam Selangkah Ke Final, Tundukkan UAE
MakanBola
AFC

Vietnam mencipta kejutan dengan mara ke peringkat separuh akhir Piala Asia B-23 2026.

Kejayaan itu dilakar anak buah Kim Sang-sik dengan menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di peringkat suku akhir di Stadium Putera Abdullah Al Faisal, Jeddah.

Meskipun dianggap pasukan bukan pilihan, Vietnam terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-33 menerusi Nguyen Le Phat.

Tersentak, UAE bangkit menyamakan kedudukan menerusi Junior Ndiaye enam minit selepas itu. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Nguyen Dinh Bac meletakkan Vietnam di hadapan buat kali kedua pada minit ke-62.

Mansoor Saeed memastikan perlawanan diheret ke masa tambahan menerusi gol penyamaan pada minit ke-68.

Pham Min Phuc muncul wira Vietnam dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-101. Gol itu memastikan Vietnam menyamai rekod kemenangan yang dicipta bersama Park Hang-seo dalam edisi 2018.

Vietnam kini menanti pemenang antara Uzbekistan dan China sebagai lawan di peringkat separuh akhir.