Advertisement
Piala Asia Bakal Dilengkapi Teknologi Baru Bertaraf Dunia
Asia
MakanBola
Haziq/MakanBola

Kualiti pengadilan Piala Asia 2023 dijangka berada pada tahap berbeza terima kasih kepada pengenalan teknologi baru bertaraf dunia.

Teknologi yang dimaksudkan ialah teknologi separa-automasi ofsaid atau SAOT. Dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bertuah kerana mereka merupakan konfederasi benua bola sepak pertama di dunia menggunakan kejohanan itu.

Secara ringkas, SAOT menggunakan 12 kamera khas untuk mengesan kedudukan pemain dan bola dengan tepat di atas padang semasa perlawanan.

SAOT menggunakan teknologi kepintaran tiruan (AI) untuk mendapatkan keputusan ofsaid dengan cepat dan tepat. Apabila seseorang pemain dikatakan ofsaid, ia akan dimaklumkan kepada pembantu pengadil video (VAR).

VAR kemudiannya akan memeriksa garisan yang dibuat SAOT sebelum memeriksa kelulusan. Setelah itu, keputusan tersebut akan dimaklumkan kepada pengadil.

Keputusan SAOT kemudiannya akan diterjemah dalam bentuk animasi 3D. Animasi ini bukan saja akan disiarkan di skrin besar stadium Piala Asia 2023 tetapi juga untuk kegunaan penyiar rasmi kejohanan.

SAOT sudah menjalani ujian yang mencukupi sebelum mendapat kelulusan Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB). Kelulusan itu yang membolehkan SAOT dapat digunakan untuk Piala Asia 2023.

Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa menganggap pengenalan teknologi ini bakal membawa kualiti pengadilan ke tahap lebih tinggi.

“Pegawai perlawanan Asia merupakan antara yang terbaik di dunia dan pengenalan Teknologi Separa-Automasi Ofsaid akan membantu menaikkan lagi piawaian mereka ke tahap lebih tinggi.

“AFC berazam untuk terus menjadi pendahulu dalam dunia pengadilan dan menggunakan inovasi teknologi terbaru selari dengan penggunaan sepenuhnya sistem Bantuan Video Pengadil (VAR) di kejohanan terbaik Asia ini, ia memperkukuh visi AFC untuk menyediakan pentas terhebat buat para pemain, pasukan dan pegawai perlawanan untuk menyinar,” katanya hari ini.

SAOT bakal digunakan buat kali pertama dalam aksi pertama Kumpulan A membabitkan Qatar dan Lubnan pada 12 Januari ini.