Malaysia menamatkan kempen Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025 dengan kemenangan apabila menewaskan Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan D.
Selepas tewas kepada Bahrain dan Oman dalam dua aksi awal kumpulan, peluang Malaysia ke suku akhir sudah tertutup.
Justeru, aksi menentang Vietnam bukan saja medan menebus maruah buat anak buah Mohd Saiful Mohd Noor. Malah, ini juga peluang Malaysia menutup kempen kumpulan dengan kemenangan.
Aksi kali ini menyaksikan Zulhairi Ismail menggalas peranan sebagai kapten. Penjaring terbanyak, Hafizal Alias pula bermula di bangku simpanan.
Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di Jomtien Beach Arena, Pattaya, Thailand.
Kecekapan dua penjaga gol iaitu Syujak Nasir (Malaysia) dan Nguyen Ahn Quang kerap menghampakan percubaan serangan kedua-dua pasukan.
Vietnam hampir mendahului menerusi Tran Kim Trung pada minit ke-11. Malangnya, tandukan pemain Vietnam itu hanya melepasi palang.
Situasi ini mendorong anak buah Mohd Saiful merancakkan serangan ke arah kubu pertahanan lawan mereka itu.
Hafizal yang juga bekas pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menceriakan kem negara dengan gol pada minit ke-21.
Lima minit selepas itu, giliran Faris Iman menggandakan kelebihan Malaysia. Faris melepaskan satu rembatan deras yang menewaskan Ahn Quang.
Vietnam terus berusaha untuk merapatkan jurang defisit gol. Mereka berjaya melakukannya menerusi Pham Truong Du.
Keceriaan kem Vietnam tidak bertahan lama apabila Hafizal meledakkan gol ketiga Malaysia pada minit akhir perlawanan.
Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini sudah cukup untuk skuad negara menamatkan kempen Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025 dengan kemenangan.
Kini, tumpuan beralih kepada Bahrain dan Oman yang akan berentap bagi menentukan siapa juara Kumpulan D.