Piala Asia Futsal: Iran Kecewakan Malaysia
UltraSukan
AFC

Malaysia membuka kempen Kumpulan D Piala Asia Futsal 2026 dengan langkah kiri apabila tewas kepada jaguh Asia, Iran.

Kedua-dua pasukan berharap dapat membuka kempen kumpulan dengan kemenangan. Malaysia dan Iran sekali lagi berentap selepas bertemu di peringkat kelayakan Piala Asia Futsal pada September 2025.

Mohammad Hossein Derakhshani mengetuai cabaran Iran. Tonggak berpengalaman, Khairul Effendy Mohd Bahrin diberi tugas memimpin skuad futsal negara.

Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal. Malaysia mengancam gawang Iran menerusi dua percubaan awal Awalluddin Mat Nawi tetapi tidak berhasil.

Iran membuka tirai jaringan menerusi Hossein seawal minit pertama. Bola yang terlepas daripada genggaman Syaifuddin Syukri pantas ditolak beliau ke dalam gawang.

Malaysia cuba bangkit memburu gol penyamaan. Ridzwan Bakri hampir menyamakan kedudukan pada minit akhir separuh masa pertama tetapi ditepis penjaga gol Iran, Bagher Mohammadi.

Situasi ini menyaksikan Iran kekal mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, anak buah Addie Azwan Zainal terus mencari peluang untuk mendapatkan gol penyamaan.

Lima minit selepas babak kedua bersambung, Behrooz Azimihematabadi menggandakan kelebihan pasukan Asia Barat itu.

Pemain berpengalaman, Hosein Tayebi dan Moslem Oladghobad menambah derita Malaysia dengan masing-masing menyumbat gol ketiga dan keempat.

Skuad negara berjaya merapatkan jurang gol menerusi Awalluddin pada minit ke-39. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia di tangga keempat kumpulan tanpa sebarang mata. Iran pula memintas Afghanistan selaku pendahulu baharu Kumpulan D.

Selepas ini, anak buah Addie Azwan akan turun menentang Afghanistan dalam aksi kedua kumpulan pada 30 Januari.