Skuad beregu Malaysia memastikan tempat ke final Piala Asia Sepak Takraw dan akan berdepan Thailand setelah cemerlang menewaskan India di separuh akhir.
Pertembungan di separuh akhir ini menjadi tumpuan setelah Malaysia yang muncul naib juara kumpulan B akan bertemu juara kumpulan A, India untuk merebut satu tiket ke final.
Gandingan Noraizat Nordin dan Aidil Hakim kekal memulakan aksi sekali lagi tatkala Redhwan Hakim pula berada di bangku simpanan untuk bersedia sekiranya khidmatnya diperlukan.
Permainan tampak seimbang dan sengit di awal permainan dengan kedudukan mata saling terikat tatkala India berjaya menyaingi kekuatan serangan yang dimiliki oleh duo negara.
Di penghujung aksi, beregu Malaysia kembali memperkemas corak permainan memaksa India untuk melakukan kesilapan tanpa henti sekaligus memberikan kemenangan buat negara.
Bersambung di set kedua, India yang tidak mahu mengalah memberi aksi lebih mencabar sehingga mampu mendahului 8-6 mengatasi skuad negara bagi memiliki sedikit kelebihan.
Kebangkitan luar biasa Malaysia akhirnya muncul apabila Noraizat dan Aidil cemerlang memintas beregu India dan mengesahkan kemaraan dan tempat untuk ke final kali ini
Aksi tamat, Malaysia menang 15-12, 15-12 ke atas India dan akan bertemu Thailand di final pada sebelah malam setelah negara Gajah Perang itu atasi Indonesia dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Malaysia dan Thailand sebelum ini telah bertemu di peringkat kumpulan yang menyaksikan jaguh dunia itu menang dengan keputusan 15-10, 17-15.