Malaysia muncul juara Kumpulan B acara quadrant selepas menewaskan wakil Asia Timur, Jepun.
Malaysia dan Jepun perlu menang jika mahu mara selaku juara Kumpulan B. Malaysia terlebih dahulu layak selepas menewaskan Filipina dalam aksi kedua kumpulan.
Skuad negara membuat percaturan dengan menurunkan Faizzul Razak, Fetri Azwadi, Shahalril Aiman Halim dan kapten, Amirul Zazwan Amir.
Pada awalnya, beberapa kesilapan yang dilakukan kuartet Malaysia membolehkan Jepun mendahului pada kedudukan 5-1.
Kuartet Malaysia bangkit mengejar sebelum menyamakan kedudukan 9-9. Perlawanan semakin sengit apabila kedua-dua kuartet terikat 14-14.
Kemasukan Afifuddin Razali menggantikan Fetri memastikan kemenangan set pertama milik Malaysia dengan keputusan 17-15.
Set kedua menyaksikan kuartet negara meraih pendahuluan awal pada kedudukan 4-2. Situasi ini mendorong Jepun memasukkan Ryota Haruhara untuk memperkemaskan rentak kuartet mereka.
Kemasukan Haruhara gagal menyekat rentak cemerlang kuartet negara. Ini membolehkan Malaysia meraih kemenangan 15-10.
Ini membolehkan Malaysia mara ke peringkat separuh akhir sebagai juara Kumpulan B dan Jepun sebagai naib juara kumpulan.