Malaysia tidak berdepan masalah mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Asia Sepak Takraw 2025 acara regu dengan menewaskan Brunei.
Selepas mara ke peringkat suku akhir selaku juara Kumpulan D, Malaysia mahu meneruskan rentak cemerlang dengan berdepan negara jiran, Brunei.
Malaysia membuat satu pertukaran dengan menurunkan Haziq Nizam sebagai tekong menggantikan Syahir Rosdi.
Brunei pula mempertaruhkan gandingan Marteen Asdi sebagai tekong, Hafizzuddin Jamaludin (feeder) dan Noorazlan Rosli (killer).
Set pertama menyaksikan gandingan Haziq, Azlan Alias dan Farhan Adam dilihat sukar digugat regu Brunei. Ini membolehkan mereka meraih kemenangan 15-7.
Kem negara kemudiannya memasukkan Syahir untuk bergandingan dengan Azlan dan Farhan. Pertukaran tersebut menyaksikan regu Malaysia makin cemerlang di set kedua.
Ini terbukti apabila Malaysia mendahului pada kedudukan 7-1. Kelebihan tersebut terus dipertahankan sebelum Malaysia menang set kedua dengan keputusan 15-4.
Malaysia bakal bertemu sama ada Indonesia atau Vietnam di peringkat separuh akhir.