Satu lagi kejayaan dicapai oleh Malaysia di Piala Asia Sepak Takraw apabila regu berpasukan melangkah ke final setelah menewaskan India pada Ahad.
Skuad regu berpasukan Malaysia turun di peringkat separuh akhir ini dalam misi meneruskan momentum cemerlang bagi semua acara tatkala India bakal menjadi halangan bagi mara ke final.
Regu pertama Malaysia yang dibarisi oleh Syahir Rosdi, Azlan Alias dan juga Amirul Zazwan sememangnya berada di tahap tersendiri apabila trio India ini dilihat bergelut bagi menyaingi kekuatan negara.
Dominasi di set pertama dan kedua oleh regu Malaysia nyata sukar digugat sehingga jurang mata terlalu jauh untuk dikejar dan akhirnya memberi kemenangan pertama buat negara 15-8, 15-6.
Selepas itu, giliran regu kedua negara terdiri daripada Haziq Nizam, Noraizat Nordin dan Farhan Adam pula turun bertemu trio India dalam misi memburu mata kedua untuk menutup aksi dengan kemenangan.
Gandingan ini terlalu unggul dengan tidak memberi sebarang ruang buat kontinjen India untuk mengasak dan memberikan mata kedua hasil kemenangan mudah 15-8, 15-5 dan layak ke final.
Aksi tamat, Malaysia 2-0 India.