Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam acara regu di Piala Asia Sepak Takraw 2025 setelah menumpaskan negara jiran, Singapura.
Setelah menewaskan Nepal pada sebelah petang, skuad regu negara turun pada aksi kedua ini dengan Singapura menjadi lawan bagi menentukan langkah ke separuh akhir.
Skuad regu Malaysia dibarisi nama-nama hebat iaitu Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam yang turun sebagai trio utama manakala Haziq Nizam serta Khairul Aman di bangku simpanan.
Seperti diramal, trio negara mendominasi permainan kali ini menerusi siri asakan tanpa henti ke arah Singapura hingga jauh meninggalkan lawan dengan skor 11-3 pada satu ketika.
Singapura sempat meraih 6 mata berturut-turut namun itu tidak mampu mengejar Malaysia yang terlalu jauh sebelum Azlan Alias menutup aksi dengan libasan yang cukup deras.
Momentum dari set pertama berjaya dibawa oleh trio negara tatkala Singapura tampak berusaha keras untuk memberikan saingan namun pengalaman jelas memihak kepada pasukan tuan rumah.
Serangan demi serangan dan kesilapan individu dari pasukan Singapura membutirkan mata-mata penting buat negara dan akhirnya permainan tamat dengan servis kencang oleh Haziq Nizam.
Aksi tamat, Malaysia menang 15-9, 15-6 ke atas Singapura.
Kemenangan ini memastikan slot Malaysia ke separuh akhir dan akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan berdepan Filipina pada Rabu.