Walaupun mendapat tentangan hebat kelab-kelab besar Eropah, Presiden FIFA Gianni Infantino hari ini mengumumkan penganjuran Piala Dunia ‘Baru’ yang bakal bermula pada 2025. Kejohanan ini bakal membabitkan 32 pasukan kelab tetapi format, tuan rumah dan maklumat terperinci tentangnya masih belum didedahkan. Ia diumumkan Infantino pada sidang media pra-perlawanan final Piala Dunia 2022 Argentina-Perancis.
Dalam sidang media tersebut, beliau berkata, “Kejohanan baru Piala Kelab Dunia lelaki bakal berlangsung pada 2025 dan akan menampilkan 32 pasukan. Kejohanan membabitkan 32 pasukan ini akan diteruskan, menjadikan ia sama dengan Piala Dunia sekarang.”
Piala Dunia ‘Baru’ atau lebih tepat Piala Kelab Dunia sebenarnya merupakan pertandingan membabitkan tujuh juara dari setiap konfederasi bola sepak benua FIFA dan pasukan pilihan tuan rumah yang bermula sejak 2000. Menerusi format baru ini, ia akan diadakan selang empat tahun sekali sama seperti Piala Dunia berbanding setiap tahun ketika ini.
Setiap pasukan perlu beraksi dalam pusingan kalah mati bagi menentukan siapa yang layak ke peringkat separuh akhir dengan pasukan juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menanti di pusingan separuh akhir. Kedua-dua pasukan yang menang di peringkat tersebut akan beradu di final bagi menentukan siapa juara.

Ketika ini, Chelsea merupakan pemegang terbaru gelaran Piala Kelab Dunia. Ini selepas The Blues yang ketika itu dibimbing Thomas Tuchel menewaskan juara Copa Libertadores tahun 2021, Palmeiras di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Februari lalu. Edisi Piala Kelab Dunia seterusnya bakal diadakan di Maghribi pada Februari tahun depan.
Infantino sebelum ini mencadangkan bilangan kelab yang menyertai Piala Kelab Dunia ditambah kepada 16 buah kelab. Ia kemudiannya ditambah kepada 24 buah kelab dengan harapan diadakan di China pada 2021. Bagaimanapun, situasi pandemik Covid-19 di China memaksa idea format baru Piala Kelab Dunia ditangguhkan sehinggalah sekarang.
Menariknya, FIFA tetap meneruskan idea ini walaupun mendapat tentangan keras kelab-kelab elit Eropah menerusi Persatuan Kelab Eropah (ECA). Akhbar Daily Mail mendedahkan ECA mahu kalendar perlawanan antarabangsa dimuktamadkan FIFA terlebih dahulu sebelum mendorong kelab-kelab menyatakan komitmen terhadap pertandingan baru. Walaupun kedua-dua pihak sudah mengadakan diskusi di Qatar, ia masih menemui jalan buntu.
UEFA melihat saingan format baru Piala Kelab Dunia ini mengancam prestij kejohanan UCL anjuran konfederasi berkenaan. Di sebalik semua ini, ada kelab bersetuju dengan usaha Infantino ini dengan syarat pertandingan tersebut menawarkan ganjaran kewangan lumayan. Difahamkan FIFA bersedia menawarkan hadiah kemenangan berjumlah £150 juta (RM808 juta) bagi pasukan yang menyertai kejohanan tersebut.
Amerika Syarikat dikatakan menjadi pilihan utama untuk merebut hak tuan rumah Piala Dunia ‘Baru’ ini. Memandangkan ia bakal dianjurkan pada 2025, ia dapat menguji persiapan mereka sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2026. Selain Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada juga merupakan penganjur bersama Piala Dunia 2026.