Piala Dunia: Ecuador Ikat Belanda
Piala Dunia
FIFA World Cup
Advertisements

Belanda mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan A Piala Dunia 2022 walaupun diikat seri 1-1 dengan Ecuador dalam perlawanan kedua kumpulan hari ini.

Belanda terlebih dahulu di hadapan menerusi Cody Gakpo pada minit keempat. Pertahanan Ecuador gagal mengeluarkan bola dengan kemas sekaligus menyebabkan Davy Klaassen merampas bola sebelum melakukan hantaran kepada pemain PSV Eindhoven itu. Gakpo melepaskan rembatan kaki kiri yang menewaskan Hernan Galindez untuk gol keduanya dalam Piala Dunia.

Tersentak dengan jaringan itu, Ecuador bangkit mencari gol penyamaan. Bekas penyerang West Ham, Enner Valencia melepaskan rembatan menggunakan kaki kanannya pada minit ke-32. Bagaimanapun, percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Heerenveen, Andries Noppert.

Advertisements

Sebelum rehat, Los Ticos menyangka mereka telah menyamakan kedudukan menerusi bek kiri Brighton, Pervis Estupinan. Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil selepas pemain pertahanan Jackson Porozo didapati mengganggu penglihatan penjaga gol dan berada pada kedudukan ofsaid. Walaupun cuba dibantah oleh pemain-pemain Ecuador, keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan Oranje dibolosi juga Los Ticos untuk gol penyamaan pada minit ke-49. Rakan sepasukan Estupinan di Brighton, Moises Caicedo merampas bola daripada pertahanan Belanda sebelum membuat hantaran dalam kotak penalti. Walaupun Noppert berjaya menafikan sepakannya, bola mudah ditolak masuk Valencia dalam gawang untuk gol Piala Dunianya yang ketiga.

Kedua-dua pasukan saling mengasak bagi mencari gol kemenangan. Gakpo melakukan percubaan jarak jauh pada minit ke-73 tetapi didapati berada pada kedudukan ofsaid. Tetapi pada akhirnya, Belanda dan Ecuador terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.

Advertisements

Dengan keputusan ini, Qatar sah tersingkir dari kejohanan sekaligus menjadikannya tuan rumah Piala Dunia pertama yang tersingkir. Dengan keputusan ini juga, Belanda dan Ecuador hanya memerlukan seri bila turun menentang The Maroon dan Senegal pada 29 November ini untuk mara ke pusingan seterusnya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram