Piala Dunia Kelab: Bayern Munich Singkirkan Flamengo
MakanBola
FC Bayern Munchen

Bayern Munich mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab apabila menewaskan wakil Brazil, Flamengo dalam aksi pusingan 16.

Aksi ini mengimbau kenangan buat peminat kedua-dua pasukan. Ini kerana ini kali pertama Die Roten dan Rubro-Negro bertemu di peringkat antarabangsa sejak 1994.

Harry Kane terus menjadi sandaran gol jurulatih Bayern, Vincent Kompany. Bekas pemain tengah Arsenal, Jorginho bertindak mengawal jentera tengah Flamengo.

Bayern bermula garang dengan membuka tirai jaringan seawal minit keenam. Erick Pulgar bernasib malang apabila tertanduk bola ke gawang sendiri.

Tiga minit selepas itu, giliran Kane menceriakan kem Die Roten. Penyerang berbisa England itu melepaskan rembatan tepat ke penjuru gawang Rubro-Negro.

Flamengo yang dibimbing bekas bintang Chelsea, Filipe Luis cuba bangkit merapatkan defisit gol. Mereka hampir melakukannya menerusi Luis Araujo tetapi dinafikan Manuel Neuer.

Gol yang dicari Flamengo hadir pada minit ke-33 menerusi kapten, Gerson. Gerson bertindak pantas menolak bola melepasi Neuer.

Bayern memulihkan kembali kelebihan dua gol pada minit ke-41. Gol jarak jauh Leon Goretzka memastikan kelab gergasi Jerman itu mendahului 3-1 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Rubro-Negro mula memberi tekanan kepada benteng Die Roten yang diketuai bekas orang besi Bayer Leverkusen, Jonathan Tah.

Hasilnya, Jorginho menceriakan penyokong Flamengo dengan menyumbat gol kedua mereka pada minit ke-55.

Flamengo dianugerahkan penalti selepas pengadil mengesan kekasaran dalam kotak penalti Bayern. Penalti tersebut mudah disempurnakan Jorginho menewaskan Neuer.

Kebangkitan yang cuba dijana anak buah Luis musnah pada minit ke-73. Kane melepaskan satu rembatan deras yang menewaskan penjaga gol Flamengo, Agustin Rossi.

Rubro-Negro cuba bangkit memburu gol tambahan tetapi keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Bayern bakal bertemu dengan Paris Saint-Germain (PSG) di peringkat suku akhir.

PSG mara ke suku akhir selepas menewaskan Inter Miami dalam satu lagi aksi pusingan 16.

Sofascore memilih Kane sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.3. Beliau mengatasi Joshua Kimmich yang meraih 8.0 mata.