Piala Dunia Kelab: Chelsea Terlalu Hebat, Palmeiras Pulang Hampa
MakanBola
Chelsea FC

Chelsea mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Dunia Kelab apabila menewaskan wakil Brazil, Palmeiras.

Palmeiras berharap dapat mengiringi Fluminense ke peringkat separuh akhir. Chelsea pula semakin bersemangat meneruskan pemburuan trofi kedua untuk jurulatih Itali, Enzo Maresca.

Liam Delap terus menjadi sandaran gol Maresca. Pemain tengah Palmeiras, Willian Estevao berdepan bakal majikannya sebelum melengkapkan perpindahan ke Stamford Bridge.

Chelsea hampir mendahului seawal minit keempat menerusi Cole Palmer. Malangnya, rembatan beliau berjaya ditepis kapten Palmeiras, Weverton.

Kem The Blues ceria apabila Palmer membuka tirai jaringan pada minit ke-16. Rembatan deras beliau ke penjuru kiri gawang gagal diselamatkan Weverton.

Empat minit kemudian, Enzo Fernandez hampir menggandakan kelebihan Chelsea. Pemain tengah Argentina itu hampa percubaannya dinafikan Weverton.

The Blues terus mendominasi permainan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Palmeiras kembali memperkemaskan rentak permainan untuk memburu jaringan penyamaan.

Hasilnya, Estevao menceriakan kelab Brazil itu dengan menyumbat gol penyamaan pada minit ke-53. Beliau pantas menyudahkan hantaran Richard Rios yang menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.

Situasi ini mendorong Maresca memasukkan Noni Madueke dan bekas penyerang Brighton, Joao Pedro untuk mengubah momentum perlawanan.

Pengendali Palmeiras, Abel Ferreira pula memilih menurunkan Paulinho agar memberi kelebihan kepada kelab Brazil itu.

Tatkala perlawanan seakan diheret ke masa tambahan, Chelsea kembali di hadapan menerusi gol sendiri Weverton pada minit ke-83. Gol tersebut sudah cukup untuk membawa anak buah Maresca ke peringkat separuh akhir.

Chelsea akan berdepan Fluminense di peringkat separuh akhir. Fluminense mara selepas menyingkirkan wakil tunggal Asia, Al-Hilal dalam satu lagi aksi suku akhir.

Sofascore memilih Palmer dan Marc Cucurella sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.9. Mereka mengatasi Pedro Neto yang meraih 7.4 mata.